Friday, September 24, 2021

Ilmu akhir zaman

 [ RINGKASAN MEMAHAMI FIQH AL-NAWAQID ( PENCABUTAN ) DAN AL-NAQOID ( PERTENTANGAN ) CABANG ILMU AKHIR ZAMAN ]

1. Al-Nawaqid secara bahasa :: jama’ daripada kalimah naaqid yang diambil daripada نقض ينقص ertinya menghilangnya sesuatu dari asalnya.

2. Huraian pemahaman al-Nawaqid dari sudut bahasa : Seseorang yang berwudhu’ kemudian keluar sesuatu dari dua kemaluannya maka batal lah ( hilang ) wudhu’nya ( nawaqid al wudhu’ ). Dalam bahasa Arab tidak digunakan kalimah al-naqd kecuali menghilang sesuatu daripada asasnya.

# Contoh : Kalau dicabut pokok dengan akar-akarnya sekali daripada tanah maka ini dipanggil naqid tetapi sekiranya dipotong dan ditinggalkan sedikit maka ini tidak dipanggil naqid tetapi qoto’. 

3. Pada istilah Fiqh al-Tahawwulat iatu pemahaman pada sesuatu yang mencabut ikatan Islam dan menimbulkan konflik dengan cara menghilangkan asas-asas ilmu, iktikad, pemerintahan dan ekonomi serta perkara yang berhubungan dengan semua perkara tersebut melalui faktor-faktor fitnah yang menyesatkan dan juga melalui para pembawa fitnah sebagaimana yang disabdakan oleh orang yang tidak berkata mengikut hawa nafsu dalam sabdanya :

لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةٌ عُرْوَةٌ ، فَكُلَّمَا انْتُقِضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا فَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ ، وَآخِرُهُنَّ الصَّلاَةُ

“Ikatan Islam akan terurai satu demi satu, setiap kali tercabut satu ikatan, manusia beralih kepada simpul yang lain. Simpul yang pertama kali tercabut adalah pemerintahan dan yang terakhir adalah solat.”

4. Fiqh al-Tahawwulat mengspesifikkan makna al-Naqid berdasarkan istilahnya iaitu menyebut nama bagi setiap perkara yang dicabut qawaid dan tsawabit dalam ugama. Jadi dicabut satu persatu kaedah dan asas dalam ugama Islam dan ini merupakan petanda hari Kiamat.

5. Dicabut asas dan kaedah dalam ugama secara berperingkat dan setiap kali ada asas dan kaedah yang hilang akan ada perdebatan dan konflik antara orang Islam.

6. Nabi mengisyaratkan perkara yang pertama yang hilang ialah pemerintahan dalam Islam dan akan berlaku kehilangan demi kehilangan asas-asas Islam sehingga yang terakhirnya ialah solat. Diantara yang akan hilang ialah ilmu, iktikad dan ekonomi.

7. Pembelajaran tentang rukun ilmu petanda hari Kiamat ada dua, rukun pertama mengisyaratkan akan berlaku kehilangan dan kerosakan dalam qoror ilmu dan iktikad. Rukun kedua merupakan simbol kepada kehilangan dan kerosakan dalam pemerintahan dan ekonomi.  Semua kerosakan yang terjadi dalam kedua-dua rukun kerana hilang dan tercabut asas dan kaedah dalam ugama.

8. Hilangnya asas-asas dalam ugama menyebabkan berlakunya konflik dan perdebatan, pertelingkahan dan perpecahan dalam umat Islam.

9. Nabi mengisyaratkan yang pertama yang akan hilang ialah pemerintahan dan ini terjadi di zaman Khilafah al Rashidah. Berlangsungnya pemerintahan ini selama 30 tahun dan permulaan zaman fitnah pada umat Muhammad berlaku ketika era pemerintahan Sayyidina Uthman. Beliau dijatuhkan dan dibunuh oleh pihak pemberontak. Apakah sebab berlakunya konflik tersebut ? kerana masalah yang berkaitan dengan pemerintahan.

10. Pemerintahan diambil alih oleh Sayyidina Ali tetapi beliau tidak mendapat sokongan semua wilayah Islam. Puak pemberontak cuba menghasut antara kaum Msulimin sehingga berlakunya peperangan antara para sahabat yang sangat mendukacitakan dan menyayat hati iaitu perang Jamal dan perang Siffin.

11. Pemberontakan di zaman Sayyidina Ali berterusan hingga kepada zaman pemerintahan Sayyidina Hasan setelah ayahandanya dibunuh. Bilangan kaum Muslimin yang membaiah Sayyidina Hasan lebih ramai daripada  yang membaiah ayahandanya dulu. Tetapi Sayyidina Hasan hanya memerintah selama 6 bulan. Kerana ingin menjaga darah kaum Muslimin dan menyatukan kalimah umat, beliau telah menyerahkan pemerintahan kepada Sayyidina Muawiyah.

12. Setelah sahaja Sayyidina Hasan turun, era pemerintahan Khilafah al-Rashidah bertukar kepada sistem al-Mulk al-Adhud iaitu era sistem beraja yang diwarisi. Genap 30 tahun pemerintahan Khilafah al Rasyhidah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi 

الْخِلَافَةُ فِي أُمَّتِي ثَلَاثُونَ سَنَةً ثُمَّ مُلْكٌ بَعْدَ ذَلِكَ.

 Tempoh pemerintahan Sayyidina Abu Bakar ialah 2 tahun 4 bulan kurang 10 hari, Sayyidina Umar 10 Tahun 6 bulan kurang 4 hari, Sayyidina Uthman 12 tahun kurang 12 hari, Sayyidina Ali 5 tahun kurang 2 bulan dan Sayyidina Hasan 6 bulan.

13. Kerosakan pertama yang berlaku ialah pemerintahan. Dulu jawatan khalifah dipilih oleh syura dan dibaiah oleh kaum Muslimin bertukar kepada sistem beraja yang diwarisi. Inilah maksud isyarat daripada sabda Nabi

 فَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ

14. Manusia akan berpegang kepada ikatan yang seterusnya ( baki ikatan yang ada ).

15. Setiap satu ikatan Islam takkan gugur melainkan setelah berlakunya peperangan dan pertelingkahan antara umat Islam.

16. Baginda juga mengisyaratkan yang terakhir tercabut ialah solat.

17. Diantara hilangnya pemerintahan hingga solat yang mengikut asas Islam ada lagi beberapa perkara yang mengikut asas Islam dicabut.

18. Cuba kita tengok realiti yang berlaku, berapa banyak muamalat dalam urusan harian kita berdasarkan asas dan kaedah ugama tidak digunakan dan manusia berpindah kepada muamalat yang tidak sesuai dengan asas dan kaedah Islam.

19. Kita lihat berapa banyak harta umat yang tidak diuruskan dengan sistem patuh syariat tetapi diuruskan dengan sistem ribawi. Hampir tidak ada seorang yang tidak terlepas daripada riba dan harta mereka yang disimpan dalam bank Islam pun terkena debu-debu riba.

20. Manusia sudah selesa dengan kehilangannya dan berpegang dengan sistem yang sedia ada pada masa kini.

21. Diantara kehilangan dalam Islam ialah pemerintahan yang berdasarkan al Qur’an dan al Sunnah. Dulu kalau ada masalah dalam pemerintahan mereka akan merujuk dengan apa yang terdapat dalam Al Qur’an dan al Sunnah. Hari ini, pemerintahan akan merujuk kepada perkara yang telah ditetapkan oleh perlembagaan.

22. Yang terakhir sekali dicabut ialah solat. Pada hari ini kaum Muslimin hidup dalam berikhtilaf dalam masalah solat. Perdebatan dan pertelingkahan dalam masalah solat mengundang kepada provokasi dan perpecahan. 

23. Beza antara khilaf dan ikhtilaf. Khilaf dibina diatas ijtihad para ulama’ dan dibina diatas ilmu dan dalil. Adapun ikhtilaf berdiri diatas pertembungan dan provokasi yang didorong oleh hawa nafsu.

24. Mereka menjadikan perbezaan antara para ulama sebagai satu masalah besar dan mencetuskan pertembungan dan pergaduhan. Konflik ini menyebabkan umat Islam mula mengabaikan solat dan kurang seruan kearahnya. Orang yang solat disesat, dibida’ah dan dikafirkan.

25. Begitulah yang berlaku pada setiap zaman, mulanya dengan pertembungan dan pertelingkahan dan kemudiannya akan berlaku konflik dan akhirnya mereka meninggalkan perkara tersebut. Setiap  perkara yang disebut oleh Nabi tentang perkara ini pasti akan berlaku.

26. Ilmu al-Nawaqid ini ialah ilmu yang negatif. Kita belajar ilmu ini untuk mengenal perkara tersebut untuk dijauhi dan melindungi  daripada perkara tersebut.

27. Perkara-perkara yang bersifat al-Nawaqid dalam umat Muhammad meliputi semua aspek kehidupan.

28. Kaum Muslimin mula meninggalkan apa yang digaris pandu oleh para ulama’ dan berpegang dengan mereka yang tidak ada hubungan dengan ilmu. Ingin memahami al Qur’an al Sunnah daripada orang yang qosir dan anti ulama’ mazhab disebabkan dakyah orang-orang jahil ini yang mempunyai kekuatan dan pengaruh pada media sosial dan kemampuan ekonomi untuk mendanai ajaran mereka supaya tersebar sehingga masyarakat menyangka mazhab sudah tidak releven pada masa kini.

29. Untuk menyempurnakan lagi kefahaman tentang al Nawaqid pengarang membawa satu ilmu iaitu al Naqoid.

30. Adapun al Naqoid ialah mendatangkan sesuatu yang bertentangan dengan perkara yang sedia ada. Al Naqoid dari segi bahasa jama’ daripada naqiid, diambil dari sighah mufa’alah (ناقض يناقض) …. Sighah mufa’alah berlaku antara dua pihak. Mendatangkan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak untuk tujuan menentang seperti wujudnya ekonomi ribawi untuk bertentangan dengan ekonomi Islam.

31. Dari segi istilah al Naqoid ialah nama bagi setiap pendirian yang lahir daripada individu  atau kumpulan untu menentang amalan syarak yang sedia ada dengan dibawa dalil atau faham yang bertentangan. Contoh : Pendirian yang diambil oleh kaum Munafiqin ketika Nabi menyeru kaum Muslimin pergi berjihad, mereka mengambil pendirian yang bertentangan dengan menghasut jangan pergi berjihad.

32. Begitu juga peristiwa Dzulkhuwaisiroh Al Tamimi yang bertentangan dengan Nabi ketika Nabi membahagikan harta rampasan perang dan mentohmah baginda dengan mengatakan Nabi tidak adil dan diqiaskan pendirian individu tersebut pada setiap zaman. Dalam setiap zaman ada individu atau kumpulan yang mengambil pendirian bertentangan dengan pegangan kaum Muslimin sejak sekian lama yang berlandaskan syarak.

33. Pendirian yang diambil oleh pemberontak yang menentang pemerintahan Sayyidina Uthman yang ditadbir dengan cara Islam. Mereka menentang khalifah yang mendapat hasonah daripada RasuliLlah.

34. Kemunculan demi kemunculan kumpulan Khawarij menentang pendirian Ahlus Sunnah. Yang terakhir daripada mereka akan muncul bersama al Dajjal.

35. Pemahaman al Naqoid diambil daripada hadith :

 لَيَأْتِيَنَّ علَى الناسِ زمانُ يكذَّبُ فيه الصادِقُ ، ويُصَدَّقُ فيه الكاذبُ ، ويُخَوَّنُ فيه الأمينُ ، ويُؤْتَمَنُ الخؤونُ ، ويشهدُ المرءُ ولم يُسْتَشْهَدْ ، ويَحْلِفْ وإِنْ لم يُسْتَحْلَفْ ، ويكونُ أسعدَ الناسِ بالدنيا لُكَعُ ابنُ لُكَعٍ لا يؤمِنُ باللهِ ورسولِهِ

36. Orang yang jujur dengan ilmu dianggap pendusta, orang yang pendusta ( tidak mempunyai hubungan dengan ilmu ) dianggap jujur. Dianggap oleh masyarakat sebagai pejuang kebenaran, pejuang kitab dan sunnah. Mereka memberi penyaksian palsu tentang kebenaran sedngkan tidak diminta untuk berbuat demikian. Antara contohnya : “  Demi Allah, Asya’irah adalah kelompok yang bodoh, menyeleweng dan terkeluar daripada ugama yang suci ini.” Ulama’ yang dekat dengan Allah dan mempunyai bashiroh yang tajam diejek dan diolok-olokkan dan dianggap sebagai pengkhianat dan lebih mempercayai pandangan mereka yang mengikut hawa nafsu dan berkepentingan dunia.

37. Orang yang bahagia ketika itu Luka’ bin Luka’ yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul. Luka’ bin Luka’ ialah lelaki yang bodoh yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul, masalah aqidah dianggap sebagai permainan dan percaturan sahaja. Apakah kebahagian yang dia dapat sedangkan orang seperti ini adalah celaka disisi Allah ? Dia bahagia kerana kerana mendapat dana daripada habuan dunia dan pengaruh kerana perbuatan dia ini berjaya memporak perandakan kaum Muslimin.

38. Al Nawaqid dan al Naqoid tujuan adalah sama iaitu memecah belahkan kaum Muslimin. Bezanya al Nawaqid ialah menghilang sesuatu daripada asas dan kaedah Islam manakala al Naqoid ialah mengambil sikap yang bertentangan untuk tujuan pertelingkahan dan provokasi antara umat Islam. Kedua-duanya adalah petanda akhir zaman.

No comments:

Post a Comment